Anugerah Guru Cemerlang ICT Kebangsaan

Tengku Azmi Raja Ismail
SMK Kandis, Bachok
Kelantan

'Mr. Periodic Table'




Juara Guru Inovatif - Pendidikan Utusan membantu
Oleh AZMY MOHAMED


JUARA guru inovatif Malaysia, Tengku Azmi Raja Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Bachok, Kelantan, menggunakan sisipan Pendidikan Utusan dan Portal Pendidikan Utusan untuk mereka bentuk `ciptaannya', selain modul yang dibangunkannya sendiri.

Beliau melayari www.tutor.com.my untuk mendapatkan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan sebagai sumber rujukan - terutamanya bahagian bank soalan dan soalan percubaan.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia di Singapura baru-baru ini, bahan-bahan daripada Pendidikan Utusan - kini dikenali sebagai Pendidikan Bestari - menjadi sumber rujukan untuk menyokong projeknya.

Anugerah

Tengku Azmi memenangi anugerah itu sempena Persidangan Guru Inovatif Pertama Rantau Asia Pasifik di Singapura baru-baru ini.

Modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) Jadual Berkala Interaktif ciptaannya menewaskan lapan peserta lain.

Beliau menerima sebuah piala dan tiket lawatan pergi balik beserta penginapan ke ibu pejabat Microsoft di Amerika Syarikat pada tahun ini.

`Saya sangat gembira dan tidak menjangka akan menang kerana tujuan modul ini adalah untuk memudahkan pelajar mengingati semua unsur yang terdapat di dalamnya,'' ujarnya.

Pengiktirafan itu memberi semangat kepadanya untuk membangunkan modul P&P mata pelajaran Sains tingkatan dua.

Kata Tengku Azmi, dengan ilmu, idea dan pengalaman yang diperolehinya sepanjang tempoh persidangan beliau tidak sabar untuk memulakan projek barunya itu.

``Saya mengaut banyak pengalaman melalui ucapan pembentang kertas kerja dan komunikasi sesama peserta,'' ujarnya.

Pertandingan ini memerlukan peserta mempamerkan hasil kerja atau modul P&P yang dibangunkan di ruang poster yang disediakan.

Setiap peserta akan diadili oleh satu panel khas berdasarkan objektif dan hasil pembelajaran, aktiviti dan tugasan pengajaran, strategi arahan, penggunaan alat teknologi informasi dan komunikasi (ICT) secara inovatif dan mengikut keperluan, dan guru sebagai agen perubahan.

Peserta dari setiap negara bertanding sesama sendiri bukannya bertanding dengan peserta dari negara lain.

Ini untuk mengelak diskriminasi disebabkan oleh perbezaan tahap celik ICT, kemudahan infrastruktur dan jurang digital antara negara yang bertanding.

Pemenang dari Filipina, Sherlita Daguisonan pula membangunkan modul P&P tentang nisbah, perkadaran dan peratus bagi mata pelajaran Matematik.

Modulnya melibatkan kajian tentang kadar penggunaan elektrik dan minyak petrol bagi ibu bapa yang berkenderaan. Data akan direkod oleh pelajar dan disahkan oleh ibu bapa sebelum dianalisis dan dipersembahkan menjadi statistik dalam bentuk carta pai atau graf menggunakan perisian MS Excel.

Gabungan banyak elemen pendidikan dalam satu rancangan mengajar dan pendekatan yang melibatkan komuniti terutamanya ibu bapa memberi inspirasi kepada guru Bahasa Inggeris, Nur Hamidah Radzali, SMK Batu 4, Gerik, Perak, untuk mencubanya.

``Dengan membuat kajian melibatkan masalah kehidupan harian akan memudahkan pelajar memahami sesuatu topik dan mengambil pendekatan yang perlu untuk mengurangkan tanggungan ibu bapa,'' katanya.

Kepada yang cenderung untuk menggunakan pendekatan popular dan kreatif, mungkin cara pemenang dari Taiwan, Shen, Chiung Ying dan pemenang dari Vietnam, Le Thi Quy boleh dijadikan panduan.

Shen menggunakan lagu popular yang telah diubah liriknya mengikut fakta yang sebenar sebagai cara menghilangkan kebosanan dan menjadikan pelajaran kesusasteraan menyeronokkan.

Manakala Le Thi Quy pula menjadikan selebriti dan artis terkenal sebagai umpan atau daya tarikan sebelum memperkenalkan tokoh negarawan negaranya.

Untuk sekolah yang mempunyai kelengkapan kamera perakam video mungkin kaedah pemenang dari Australia, Dan Isele sesuai dan ideal untuk dicuba. Pengajaran dilakukan dengan para pelajar membaca berita berkaitan topik berkenaan dan dirakamkan.

Dengan cara ini pelajar dapat membina keyakinan diri dan melatih kemahiran komunikasi interpersonal mereka.

Pendekatan hampir serupa dipraktikkan oleh pemenang dari Singapura, Dr. Chua Guat Kheng.
Bezanya ia tidak melibatkan pelajar sebagai pelakon atau terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan P&Pnya. Dengan bantuan perisian Microsoft, Moviemaker dan Producer memudahkan beliau - atau sesiapa sahaja - menggunakannya untuk menyediakan bahan P&P dalam bentuk wayang atau rakaman video.

Turut terpilih sebagai pemenang bagi negara masing-masing ialah Song Pengjun (China), Savitri Dugtal (India), R Suryanto (Indonesia), Hur, In Sook (Korea), Lynda Walsh (New Zealand) dan Sopapun Chuentongkam (Thailand).



dipetik daripada Utusan Online

Posted byUnit ICT & Maklumat at 11:52 PM  

1 comments:

ku_mie said... August 13, 2007 at 1:18 AM  

Terima kasih..
kerana sudi memuatkan klip vedio saya dalam blog UICTBachok ni...

Mudah-mudahan ianya akan menjadi pendorong kepada saya dan juga rakan-rakan di PPD bachok untuk berkhidmat.. dengan lebih cemerlang gemilang dan terbilang.. lagi hendaknya.. Tengku Azmi

Post a Comment